Sunday 25 September 2011

Buat abang naqib dan kakak naqibah

Usrah. Pernahkah kalian mendengar tentang usrah? Barangkali. Mungkin ramai yang sudah tahu. Mungkin juga ada yang belum pernah mendapat nikmat menghadiri usrah.

Alhamdulillah di Bandung, kami diberi kesempatan untuk mengikuti usrah. Apa itu usrah? Usrah, dalam bahasa melayu bermaksud keluarga.. Walaupun antara kita tiada ikatan kekeluargaan, namun ikatan aqidah sentiasa menghubungkan kita. Ukhwah.

Usrah: Wajib?
Sedarilah, bukan semua orang mendapat nikmat sebegini. Usrah, bukanlah suatu kewajipan. Ya, ia bukan kewajipan. Namun ia merupakan suatu proses untuk membantu kita mengekalkan dan meng'upgrade' iman kita. Allah merahmati majlis-majlis ilmu yang diibaratkan sebagai taman-taman syurga. Ya, di bumi lagi kita dapat menikmati taman-taman syurga jika kita ikhlas menghadiri majlis ilmu. Ta'lim, usrah dan sebagainya.
Kenapa kita kena menghadiri usrah? Kerana hakikatnya kita malas...memang kita malas. Kenapa saya mengatakan demikian?
Berapa ramai di kalangan masyarakat kita yang cintakan ilmu, yang suka membaca? Yang memiliki perpustakaan mini di rumah? Sangat sedikit... Sebab itu ada insan-insan yang berusaha mewujudkan rasa cinta itu dalam diri kita. Supaya sifat itu dapat dipupuk dalam anak-anak kita nanti. Generasi akan datang..

***Iklan:
A* Ahhh kaget. Anak?? Aku muda lagi lah....
B* Muda lagi apa... Umur dah layak jadi mak, ayah orang dah tu!
Iklan tamat***

Andai di tempat kita tidak ada usrah, adakah kita akan berusaha mencari ilmu Allah? Atau kita hanya akan disibukkan oleh urusan dunia kita yang tiada henti, usrah pula? Oh, ianya tidak bererti, kerana aku sudah tiada masa lagi. Begitukah?

Kita tidak boleh terlalu selesa dengan keadaan kita sekarang... Mungkin hari ini, ada orang nak membantu kita, tetapi bagaimana setelah kita pulang ke Malaysia? Sebagai orang awam, siapakah yang akan menasihati, membimbing kita setelah 'keluarga' kita itu tiada? Bukankah kita harus bergantung kepada diri sendiri untuk membina dan meningkatkan diri kita? Jadi bersedialah untuk saat itu, dan kurangkanlah kebergantungan kita terhadap orang lain. Berusahalah mencari diin, memahami diin. Ad-diin, cara hidup kita. Islam, cara hidup kita. Agak pelik, hidup di bumi, namun tidak mengetahui cara hidup. Aneh bukan?

Ilmu itu cahaya, kebenaran itu cahaya. Cahaya bagi insan yang ingin mencari Tuhannya. Bukan insan yang duduk menunggu orang datang menyuap makanan dalam mulut kita. Sedangkan burung pun keluar mencari rezeki, kita pula mahu enak duduk bergoyang kaki?

Kita semakin hari, semakin dewasa. Cabaran hidup semakin bertambah. Fitnah dunia, sungguh menyeksakan. Semuanya tidak bertambah mudah, namun bertambah sukar. Mungkin di kampus, kita kurang nampak kerana kita belum terjun ke dalam masyarakat. Namun di Malaysia nanti, semestinya keadaan tidak akan sama dengan di sini. Seperti yang disebutkan tadi, kita harus berdikari! Alhamdulillah, jika menyertai jemaah, akan ada yang follow up. Namun bagi orang-orang yang baru berjinak-jinak dengan usrah, baru mengenal usrah, bagaimana?

Komitmen!
Komitmen! Komitmen siapa? Kakak-kakak naqibah, abang-abang naqib. Jika kita tidak disiplin, tidak komited dalam menjalankan usrah, jika usrah hanya sekadar mengisi masa lapang, jika tiada kesungguhan, bagaimana dengan adik-adik usrah kita?

Sebenarnya bukan hendak mengatakan usrah itu yang penting, tetapi materi yang dibawa dalam usrah, itu yang lebih penting... Mengenali Allah dan Rasul saw... Bekalan yang sangat penting untuk kita... Tanpanya, kosonglah syahadah kita. Tiada nilai, kerana kita tidak memahami apa yang kita sebutkan dalam solat saban hari.....

Wahai kakak dan abang naqibah sekalian,
Tugas kita besar. Sedarlah kita, di bahu kita ada tanggungjawab. Amanah untuk menyampaikan, untuk memberikan yang terbaik, untuk menjadi yang terbaik!

Namun insafilah diri kita, sejauh mana kita telah berkorban? Berjuang? Sedarkah kita apa makna berjuang jika tiada kesungguhan dalam diri kita. Kita disibukkan dengan pelajaran, peperiksaan... sehinggakan ada insan-insan yang terabai. Insan-insan yang mungkin dahagakan ilmu, dahagakan suasana berada di taman-taman syurga... Sedarkah kita? Kita telah cuai dalam menjalankan amanah ini. Daie malas, mad'u apatah lagi!

Jika naqib dan naqibah sendiri tidak memahami...

Bandung banyak sangat aktiviti!
"Bandung lain, Bandung selalu buat aktiviti, sibuk... Semua nak buat program, bila nak usrahnya? Tak sempatlah!!"

Jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya...

Jika saban hari kita hanya memberikan alasan demi alasan, untuk menyedapkan perasaan...

Penat...
Sibuk...
Malas...
Nak study...

Memang penat... dan memang sibuk... Namun kita sedar dan kita kuatkan diri, keluar daripada zon selesa, cari masa, cari kesempatan... kerana itulah namanya pejuang. Masakan kita boleh duduk lena di kerusi empuk dan mengatakan "Aku seorang pejuang!!" Satu lagi keanehan bukan?

Kita berjuang bukan kerana harta... tetapi kita berjuang kerana syurga...
Dan syurga itu mahal harganya...
Kenalilah sifat ahli syurga. Wujudkah ia dalam diri kita?

Tak pandailah bawak usrah...Aku tak reti...
Ketahuilah, diri ini memahami kerana pernah berada di situasi itu... Namun saat kita mengatakan kitalah yang paling pandai, di situlah bermulanya titik kebodohan. Kerana sikap angkuh itu akan memusnahkan...

Memang kita tidak pandai, sebab itu kita berusaha...
Berusaha memperbaiki diri, amalan...
Berusaha menambah ilmu, bekalan...

Dan dalam usrah itu sendiri, meskipun bergelar naqib dan naqibah, tidak bererti kita sudah berhenti belajar. Kita memberi, kita juga akan menerima. Kita mengumpulkan sesama manusia, supaya sama-sama kita medapat manfaat darinya... Bukan untuk menjadi lilin yang menerangi orang lain, sedangkan dirinya sendiri terbakar, musnah... Orang kata, lebih banyak kita memberi, lebih banyak kita menerima...

Ikhlaskan diri
Ikhlas suatu perkataan yang cukup mudah diucapkan, namun bukan semudah itu untuk mencapainya...

Bekerjalah kerana Allah, pasti kelelahan itu akan hilang.

Berlaku ihsanlah, sentiasa usahakan yang terbaik, kerana meskipun kita tidak melihat Allah, Dia Maha Melihat setiap apa yang dikerjakan hambaNya, meskipun sebesar zarah.

Aku bukan naqib, bukan juga naqibah...so aku tak payah~
Tulisan ini bukanlah spesifik untuk golongan di atas sahaja... Sebenarnya tanggungjawab itu terbeban di atas bahu setiap daripada kita saat kita melafazkan syahadah. Sebarkan kalimah tauhid, itulah tugas para nabi... dan menjadi penghormatan buat kita, bukan bebanan sebenarnya. Insan-insan terpilih. Bukan terpilih kerana dipilih, namun terpilih kerana mereka berusaha dan mereka bergerak! Insan-insan terpilih itu adalah kita... Semuanya terpulang kepada cara fikir kita... Positif atau negatif, semuanya dalam fikiran kita.

Ayuh berubah!


Jentik1:- Terkesan melihat kanak-kanak di Palestin. Umurnya masih muda, namun fikirannya sangat matang berbicara tentang perjuangan. Kita pula? Umur dah meningkat, fikiran seperti kanak-kanak. 
Minda kita terbantut, dialihkan daripada perkara yang penting dalam hidup kita. Kerana apa?
Hiburan! Kita terlalu suka mencari keseronokan sehingga kita lupa, di dunia masih ada saudara seaqidah kita yang menderita... Hiburan itu dibenarkan... tetapi bila berlebihan, ianya membunuh...

Jentik2:- Jom berseronok di syurga nanti, di dunia susah sikit pun tak pelah :)

Sobre o Blog

Entri Popular

Labels

Followers

Subscribe to our feed


ShoutMix chat widget

Ghurabaa'

Hiduplah kita seperti pengembara, yang singgah di dunia sebelum berehat di akhirat